Masalah Suami Isteri

Isteri, Berhentilah Menjadi Hamba Suami. Ini Beza Antara Taat Dengan Hamba Kepada Suami

Rumah tangga yang bahagia adalah rumah tangga dimana suami dan isteri hidup saling melengkapi. Bukan cuma sebelah pihak menjadi tongkat kepada sebelah pihak yang lain kan.

Suami melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna dan si isteri juga turut melakukan perkara yang sama. Barulah boleh kekal hidup bersama-sama sehingga ke akhir hayat. Paling penting, jangan sesekali si suami melayan isteri seperti hambanya, seperti yang dikongsikan oleh Akhtar Syamir ini.

Nak tahu nasihatnya kepada wanita-wanita di luar sana yang sudah bergelar isteri? Jom baca perkongsian tersebut dibawah. Semoga bermanfaat.

Isteri, berhentilah menjadi hamba suami.

Banyak artikel berkait rapat dengan hubungan suami dan isteri yang telah saya tuliskan. Kebanyakannya mendapat ratusan hingga ribuan komen. Percaya atau tidak, saya membaca hampir kesemua komen. Dari situ, saya dapat mengesan sesuatu yang amat menakutkan.

Walaupun tidak semua, tetapi saya dapat terhidu adanya keluarga yang isterinya di dalam keadaan “submissive” terhadap suami atau kita boleh gelarkannya “Submissive Wife”.

Submissive ini bermaksud tunduk patuh. Submissive Wife pula bermaksud Isteri yang tunduk patuh.

Bukan isteri memang patut tunduk patuh kepada suami ke? Jangan derhaka kepada suami sering terngiang – ngiang di telinga kita. Di sini silapnya kita. Kita terkeliru antara taat dan tunduk patuh. Ramai isteri ingat mereka taat kepada suami tetapi sebenarnya mereka dalam keadaan tunduk patuh. Apa bezanya antara kedua – dua perkataan ini?

Taat bermaksud setia, mendengar kata, memberi sokongan dan menghormati. Tunduk patuh pula bermaksud setia tak bertempat, mendengar kata tanpa soalan, memberi sokongan tidak kira situasi dan masih menghormati walaupun dilayan dengan tidak baik.

Ramai yang terkeliru apabila memainkan peranan sebagai isteri. Mudah sahaja. Kita pecahkan dari maksud tunduk patuh itu sendiri. Setia tak bertempat ialah apabila suami berkali – kali didapati menipu dan curang. Tetapi isteri masih setia. Masih berharap yang suami akan berubah walaupun telefonnya anda masih tidak boleh pegang atas alasan privasi.

Mendengar kata tanpa soalan ialah apabila isteri mengikut sahaja suami menyuruh membuat perkara yang tidak baik atau menerima arahan suami walaupun perkara itu tidak baik. Contohnya suami suruh diam dan tidak ganggu dia bila dia keluar malam atau bersama kawan sehingga pagi atau terlibat dalam gejala yang tidak sihat.

Memberi sokongan tidak kira situasi ialah apabila isteri tetap menyokong perbuatan suami yang teruk atau tidak sihat. Contohnya ketagihan rokok, game dan benda lain yang tidak bermanfaat. Si isteri menyokong dengan menerima suami yang merokok depan anak dan menghabiskan berjam – jam dengan hobinya sehingga meninggalkan anak dan isteri tanpa layanan dan perhatian yang sepatutnya.

Masih menghormati walaupun tidak dilayan dengan baik ialah apabila isteri menerima segala tamparan, tumbukan, sepakkan suami pada malam hari tanpa berlawan dan masih menyiapkan sarapan untuk dia pada keesokan harinya.

Berhentilah menjadi isteri yang tunduk patuh. Jadilah isteri yang taat. Isteri bukannya hamba yang boleh dibuli. Anda boleh berfikir. Hormat dan takut juga adalah berbeza. Anda tidak perlu takut. Pertahankan maruah dan diri anda. Anda ada keluarga, ada kawan – kawan, NGO dan pihak berkuasa yang boleh membantu anda.

Untuk suami, insaflah. Dua hadis ini untuk anda.

Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah s.a.w bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku ( Nabi s.a.w ) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteri ku.” [1621] Sahih Ibnu Majah

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah s.a.w bersabda, “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi pekertinya, dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada isterinya.” [1162] Hasan Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi

Semoga dapat membuka mata yang selama ini tertutup rapat.Kongsikan penulisan ini supaya lebih ramai boleh mendapat manfaatnya. Jemput follow saya 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

BroOhsem

Sumber: Akhtar Syamir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

86 − 85 =

error: Content is protected !!