Inilah Hak Hak Wanita Selepas Berlaku Penceraian

HAK-HAK WANITA SELEPAS BERLAKU PERCERAIAN

1. Nafkah Eddah

“Dan jika mereka (isteri yang telah ditalak) itu sedang hamil, maka berikalah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu maka berikanlah mereka upahnya” (At-Talak : 6)

Seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

2. Hutang Mas Kahwin

Seksyen 59 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Hak terhadap mas kahwin, dsb., tidak akan tersentuh

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

3. Tempat Tinggal

“Tempatkanlah para isteri kamu di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuan dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan hati mereka” (At-Talak : 6)

Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Hak tempat tinggal

(1) Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

(2) Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) akan terhenti—

(a) jika tempoh ‘iddah telah tamat;

(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat;

(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula; atau

(d) jika perempuan itu telah bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah),
dan sesudah itu suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.

4. Mut’ah

“dan hendaklah kamj berikan satu mut’ah (saguhati) kepada mereka. Orang yang mampu memberikan mut’ah itu menurut kemampuannya orang yang miskin pula menurut kemampuannya juga” (Al Baqarah : 236)

Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Mut’ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

5. Harta Sepencarian

“Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan” (An-Nisa : 32)

Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;

(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;

(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

6. Hak Jagaan Anak (Hadhanah)

Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Orang yang berhak menjaga kanak-kanak

(1) Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak dari mempunyai hak terhadap hadhanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan…

7. Nafkah Anak

Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Kewajipan menanggung nafkah anak

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

8. Tunggakan Nafkah

Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 2004 : Menuntut tunggakan nafkah

(1) Tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pusakanya.

(2) Tunggakan nafkah yang tak bercagar yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-undang orang itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

46 − 36 =