Umum

Hukum Berjimak Sebelum Mandi Wajib

Salam
Ustaz apa hukumnya berjimak sebelum mandi wajib. Adakah berdosa ustaz?

Jawapan

Berdasarkan soalan yang diutarakan kepada saya, ada dua maksud kepada soalan anda iaitu wanita yang kering daripada haid belum mandi dan berjimak kali kedua sebelum mandi wajib. Jadi saya akan terangkan dua-dua perkara ini bagi memenuhi maksud anda yang tidak sampai pada soalan yang diutarakan.

Berjimak Sebelum Mandi Haid

Isteri yang baru habis haid dan belum mandi wajib dikira sebagai tidak bersih dan haram melakukan jimak kepada isteri dalam keadaan sebegini. Mengikut Mazhab Syafie wanita yang dikira suci daripada haid adalah bermula selepas ia mandi hadas dan bukan daripada berhenti darah haidnya. Lagipun berjimak semasa isteri belum suci daripada haid atau belum mandi hadas sangat dilarang Islam, kerana ia adalah perbuatan yang sangat jijik dan kotor. Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”(Al-Baqarah : 222)

Jelas di sini, setiap isteri yang habis haid mesti mandi hadas dan suci daripada haid sebelum melakukan hubungan jimak bersama suaminya. Batas suci bagi wanita haid adalah bermula daripada selepas ia mandi hadas.

Berjimak Kali Kedua Sebelum Mandi

Berjimak kali kedua sebelum mandi hadas jimak pertama, perbuatan sedemikian dikira makruh. Jadi terlebih baik ia hendaklah mandi hadas terlebih dahulu dan jangan dilengahkan mandi tersebut kerana perbuatan melengahkan juga dikira sebagai makruh. Sekiranya tidak larat atau tidak mampu mandi pada waktu malam, maka disunatkan suami dan isteri membasuh kedua kemaluannya dan mengambil wuduk dan diteruskan tidur dan awal pagi mandi hadas sebelum melakukan solat subuh. Boleh juga mandi pada waktu malam selepas melakukan jimak kerana perbuatan ini juga adalah sunah Rasulullah dan dikhuatiri terlewat Solat Subuh disebabkan mandi hadas.

Bagaimana berlaku jimak beberapa kali perlukah mandi wajib mengikut jumlah perbuatan jimak? Jawapannya tidak perlu, cukup sekali mandi sahaja sudah memadai dan sudah terangkat semua hadas yang ada pada diri.

www.panduansuamisteri.blogspot.com


Sumber: Ustaz Noramin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

− 2 = 4