Tazkirah

Dah Pergi Umrah Tapi Perangai Tak Berubah Pun, Inilah Puncanya

Selalu ada yang komen, dah pergi umrah tapi takde beza pun. Alangkah sedihnya jika hal ini terjadi pada diri sendiri!

Pertama kali pergi umrah, biasanya kita sampai di tanah suci seperti seseorang yang buntu dan sesat. Memang kita rajin ke masjid, meraih pahala dan kelebihan beribadah, tetapi selepas beberapa hari, mungkin kita sendiri mula berasa ‘bosan’ kerana aktiviti yang dilakukan sama sahaja setiap hari.

Apa yang jadi? Dah berbelanja ribuan ringgit untuk sampai ke sana, tetapi sayangnya jiwa tidak disediakan sebelum berangkat. Di sini, amat penting untuk saya tekankan bahawa apabila mendapat peluang mengerjakan umrah, perlu ada sesuatu target yang ingin dicapai di dalam diri sendiri. Sama seperti pada bulan Ramadhan, jika boleh, sebaiknya kita ingin perubahan yang kekal selepas pulang dari umrah.

Begitu ramai yang rajin bangun tahajjud setiap malam, membaca al-Quran pada setiap masa, solat berjemaah di masjid setiap waktu tetapi pulang dan kembali kepada diri asal mereka: subuh gajah, al-Quran sekadar hiasan, dan masjid di kawasan rumah sendiri pun tidak dijejaki.

Alangkah ruginya kita jika umrah kita tidak meninggalkan kesan ‘lifelong-lasting-effect’ kepada kita. Ini adalah antara beberapa cadangan yang saya sendiri berasa telah amat membantu saya berusaha untuk mengekalkan perubahan dalam rutin harian selepas pulang dari umrah:

1) Pilih beberapa surah pilihan yang ingin dibaca setiap hari. Ramai yang pergi umrah dan mula membaca dari surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah.

Pada bulan Ramadhan begitu juga, akhirnya kita bermula dari Al-Fatihah dan Al-Baqarah tetapi tidak juga menghabiskan bacaan al-Quran dalam tempoh masa sepuluh hari semasa mengerjakan umrah.

Kita tahu bahawa amat sukar untuk kita khatam Al-Quran semasa mengerjakan umrah. Jadi satu cara lain adalah untuk memilih satu atau dua surah pilihan yang kita wajibkan atas diri kita untuk jadikan surah amalan dan baca setiap hari ketika di sana, seperti surah al-Mulk atau surah al-Waqiah. Apabila pulang ke tanah air, kita teruskan sahaja rutin baru yang dimulakan dari tanah suci ini.

2) Kadangkala, kita duduk di masjid dan mula berzikir. Astaghfirullah 100 kali.

  • Alhamdulillah 100 kali.
  • Allahu akbar 100 kali.
  • Laa ilaha illallah 1000 kali.

Jika ini diteruskan juga apabila kita pulang ke tanah air, ini bermaksud kita telah berjaya membuat satu perubahan dalam rutin harian kita. Tetapi ramai juga yang berzikir hanya di tanah suci, dan tidak pula berzikir apabila pulang ke tanah air. Ataupun, mereka cuma berzikir perkara yang sama tanpa menghayati zikir tersebut. Pandangan saya, gunalah peluang di tanah suci untuk mempelajari zikir baru.

Contohnya dengan mengamalkan al-Mathurat yang menjadi pendinding diri kita dari amalan sihir. InsyaAllah, pasang niat dalam hati untuk mengamalkan zikir-zikir tersebut saat kita pulang ke tanah air juga.

3. Dari segi pemakaian, ketika di tanah suci kita sering memakai telekung ke mana sahaja kita ingin pergi. Berjalan di shopping complex dan ke pasar kurma pun kita selesa memakai telekung kerana senang untuk pulang ke masjid untuk solat berjemaah. Hal ini mungkin membuat kita terlepas pandang untuk juga menjaga aurat kita ketika kita kembali ke tanah air.

Jika di Mekah dan Madinah kita tidak segan memakai telekung pada setiap masa, tetapi di Malaysia kita segan melabuhkan tudung menutupi dada, apatah lagi memakai handsock atau stokin. Ironi!

Sayang, sungguh sayang, kerana Allah Taala telah pun menunjukkan bahawa diri kita ada potensi untuk menutup aurat dengan baik ketika berada di tanah suci. Jadi mengapa kita tidak teruskan apabila pulang ke tanah air?

Saat menerima jemputan dari Allah Taala ke tanah suci, pasanglah niat dan target, apa yang kita hendak capai ketika berada di sana. Antara kebaikan utama mengerjakan umrah adalah kita dipisahkan dari rutin harian dan fikiran tidak serabut dengan tugasan di pejabat dan di rumah. Inilah masanya untuk mengubah sesuatu dalam diri kita dan menambahkan amalan harian kita ketika kita pulang ke tanah air, meskipun sedikit.

Sesungguhnya, Allah Taala menyukai perubahan yang kecil tetapi konsisten. Janganlah terlampau mengejar bacaan al-Quran dan khatam dalam masa 10 hari, sedangkan kita jarang sekali membaca walau satu ayat pada baki 356 hari yang ada.

Janganlah terlampau mengejar jumlah zikir, sedangkan fikiran dan hati berada di tempat lain tanpa menghayati maksud zikir tersebut.
Janganlah menutup aurat ketika berada di tanah suci dan ketika solat sahaja dan membuka aurat di tempat lain, kerana menutupi aurat adalah kewajiban dan ‘uniform’ seseorang yang bergelar Muslim dan Muslimah.

Janganlah tunggu umrah atau Ramadhan sahaja untuk berubah: mari kita berubah hari ini, walaupun kecil, walaupun sedikit, kerana ianya amat besar di mata Allah SWT. InsyaAllah. Jom istiqamah sampai layak ke syurga!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

+ 21 = 29

error: Content is protected !!