Anak

Anak Kurang Menangis & Mengada Jika Ayah Lebih Prihatin Luangkan Masa Untuk Mereka

“Yeayy Papa dah balik, yeayy! Papa, Papa!”

Inilah sorakan yang biasa anda dengar daripada anak-anak kecil apabila ayah mereka pulang dari tempat kerja. Seronok rasanya bila dirindui oleh anak-anak. Namun dalam masa yang sama, keletihan dari tempat kerja juga mungkin masih belum hilang.

Mahu tak mahu, Papa tetap meluangkan masa dengan anak-anak. Sekurang-kurangnya membalas pelukan dan bertanyakan aktiviti mereka di sekolah dan di rumah hari ini. Sekali dilayan, macam-macamlah cerita mereka yang keluar. Papa pun tersenyum saja sambil khusyuk mendengar.

Mungkin dalam sesetengah keluarga, seorang ayah agak ‘jauh’ dengan anak-anak dek kerana kesibukan kerja. Bila ada di rumah pula, tak mahu diganggu atas alasan mahu berehat. Realitinya, ia bukanlah sesuatu yang pelik dan masih berlaku dalam masyarakat kita.

Tahukah anda, hubungan serta penglibatan ayah dengan anak-anak boleh membawa kesan yang luarbiasa kepada psikologi, minda, serta emosi si kecil sejak usia bayi lagi.

5 PERKARA LUARBIASA YANG AKAN BERLAKU KALAU PAPA LUANG LEBIH MASA DENGAN ANAK
Wahai Papa, apabila anda meluangkan lebih masa dengan mereka, bersedialah untuk melihat 5 kesan luarbiasa ini:

1. BAYI KURANG MENANGIS
Faham-faham sajalah ada sesetengah bayi memang kerap menangis walaupun kita tak tahu puncanya. Lampin dah ditukar, susu dah diberi, perut dah disapu minyak, suasana bilik pun tak terlalu panas atau sejuk. Semuanya serba selesa! Jadi, memang pening bila bayi tetap menangis dan asyik merengek seolah-olah ada sesuatu yang tak kena.

Sebuah kajian tahun 2017 yang diterbitkan dalam Jurnal Child: Care, Health and Development mendapati bahawa apabila seorang ayah banyak terlibat dalam menjaga bayi dan menguruskan keperluan mereka seperti memberi susu, menukar lampin, memandikannya – ia akan membuat bayi anda kurang meragam!

Dalam penemuan tersebut, kebarangkalian untuk bayi anda mendapat colic atau sawan tangis adalah lebih rendah peratusannya apabila Papa kerap meluangkan masa dengan bayi. Alasannya, penglibatan seorang ayah untuk menguruskan bayi ini akan membuat ibu kurang stres dan lebih gembira – dan ini adalah faktor utama yang menjadikan bayi sentiasa tenang dan ceria.

2. BERPOTENSI MENJADI CERDIK & BIJAK
Sebuah kajian yang diterbitkan dalam Science Daily mendapati bahawa bayi berusia 2 tahun mencapai keputusan yang lebih baik dalam ujian kognitif hasil penglibatan aktif ayah mereka. Lebih banyak interaksi seorang ayah dengan anak, lebih baik hasil keputusan ujian tersebut.

Selain itu, pemerhatian selama 4 dekad yang diterbitkan oleh British Journal Evolution and Human Behaviour juga membuktikan bahawa anak-anak ini yang berusia 0 hingga 5 tahun memiliki IQ lebih tinggi berbanding anak-anak yang menerima kurang perhatian daripada bapa mereka.

3. ANAK KURANG MENGAMUK / ‘BUAT PERANGAI’
Mungkin dahulunya kita selalu menganggap ayah hanya memainkan peranan untuk menghukum atau memarahi anak apabila ibu-ibu tak dapat mengawal anak mereka lagi. Tapi sebenarnya hubungan ayah yang erat adalah kunci utama dalam membentuk peribadi serta tingkah laku anak-anak.

Menurut hasil pemerhatian sekumpulan pengkaji dari Universiti Oxford mendapati bahawa emotionally involved dads ini jarang memiliki anak yang bermasalah dalam usia remaja mereka.

4. GEMBIRA & CERIA SENTIASA
Siapa tak gembira kalau dapat perhatian daripada orang yang kita sayang, kan? Begitu juga dengan anak-anak kita.

Kalau nak tahu, Belanda – iaitu salah satu negara yang mempunyai rakyat paling gembira di dunia – mempunyai ‘papa dag’ bermaksud ‘hari bersama ayah’. Tidak, ia bukan sehari dalam setahun dan ia bukanlah sambutan Hari Bapa. Sebaliknya, ia adalah sehari dalam seminggu yang biasa diluangkan oleh anak khusus bersama ayah mereka.

Bagi mereka, ia bukanlah sesuatu yang ‘pelik’ bagi seorang ayah untuk membawa anak ke sekolah, membawa anak untuk membeli barang keperluan rumah, bermain di taman, atau membuat apa-apa saja yang lebih selalu kita nampak dilakukan oleh seorang ibu bersama anak. Mungkin inilah salah satu rahsia kebahagiaan mereka!

5. SUKSES DI MASA DEPAN
Dengan penglibatan seorang ayah secara hands-on, dah tentu mereka lebih memahami anak mereka secara emosi dan psikologi.

Interaksi inilah yang memberi anak lebih keyakinan dan kekuatan untuk terus berjaya dalam hidup. Maka tak hairanlah anak-anak ini dapat membesar dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang yang sukses di masa depan, seperti yang telah terbukti dalam banyak kajian.

JADI, PAPA KENA RAJIN LAYAN ANAK-ANAK YA!
Disebabkan pelbagai efek yang begitu signifikan ini, seorang ayah perlu terlibat dalam kehidupan anak mereka secara aktif sejak awal usia lagi.

Jangan jadikan kesibukan sebagai alasan lagi. Anak-anak pasti akan mendapat manfaatnya dalam setiap detik yang diluangkan bersama mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!