Tips Rumahtangga

8 Panduan Sekiranya Berlaku Pertengkaran Dalam Rumahtangga

Memang benar bahawa perbezaan pendapat dan kadang-kadang pergaduhan boleh berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Allah jadikan setiap manusia berbeza dari sudut kecenderungan, minat, perwatakan, kemampuan, perangai, cara berfikir dan fizikal. Selain faktor-faktor seperti genetik, perbezaan ini banyak dipengaruhi oleh pendedahan kepada persekitaran yang berbeza berdasarkan latar belakang keluarga, sub-budaya dan budaya. Jadi, tidak hairan lah jika suami isteri akan mengalami beberapa cabaran dalam proses penyesuaian.

Pergaduhan suami isteri bukan sahaja kerana perbezaan latar belakang. Bahkan dalam kes suami dan isteri yang datang dari latar belakang yang sama pun kadang-kadang berlaku juga perselisihan. Seribu satu kelemahan dan kekurangan yang ada pada manusia menyebabkan berlakunya perbezaan dalam keluarga. Kadang-kadang ia berpunca dari suami, dan kadang-kadang ia berpunca dari isteri. Namun dalam banyak keadaan ia adalah akibat kelemahan dan kesilapan kedua-dua suami dan isteri.
Namun, mencari siapa yang bersalah bukan soal yang pokok. Apa yang penting ialah bagaimana kita berdepan dan mengurus ‘lidah yang tergigit’ ini. Jika lidah yang digigit, penyelesaiannya bukan dengan mencabut gigi, atau memotong lidah. Demikian juga dalam situasi hubungan suami isteri. Kedua-dua pihak perlu berlapang dada, bertimbang rasa, sabar, dan tenang dalam menghadapi konflik rumah tangga. Jadi, kali ini WanitaSihat ingin berkongsikan penyelesaian apabila berlakunya konflik dalam rumah tangga ini.

Jangan Merajuk
Sejak masih kanak-kanak, orang perempuan pandai menggunakan strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka inginkan. Ramai juga isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan memaksa suami mengalah. Merajuk tidak menyelesaikan masalah, malah ia boleh memburukkan lagi masalah sedia ada.
Walaupun dengan cara merajuk, isteri boleh mendorong suami mengalah, strategi itu tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah, perbuatan merajuk sangat membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah apabila mereka hendak berdamai. Oleh itu, apabila si dia merajuk lagi, helah itu mungkin memakan diri sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum isterinya sendiri.

Jangan Menghukum
Pergaduhan, pertengkaran dan konflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua pihak. Masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak satu lagi.
Lelaki dan wanita mempunyai cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki lazimnya cenderung ‘menarik diri’ dan tidak mahu lagi bercakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah.

Jangan Berdusta
Jika pasangan menunjukkan sikap mahu berdamai dan anda sendiri mahu berdamai, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura benci.
Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka anda betul-betul tidak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong untuk melupakan usaha berdamai.

Jangan Mencari Salah
Jika mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Ia termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati pihak satu lagi.
Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.

Hentikan Bahasa Negatif
Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Jika mahu berdamai, hentikan bahasa itu termasuk sindiran dan penghinaan.
Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan.

Berbicara Mengenai Hari Ini dan Esok
Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan mengenai hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang melainkan untuk tidak mengulangi lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara yang menyebabkan konflik.

Senyum Semula
Menurut pelbagai kajian, antara perkara yang banyak disebut lelaki mengenai bekas isteri mereka ialah isteri mereka tidak senyum. Jadi, senyumlah walaupun susah kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula.

Mulakan Berdamai
Selepas konflik yang berlaku itu berlarutan, kedua-duanya mungkin mahu berdamai, tetapi takut risiko untuk memulakannya. Jika benar inginkan perdamaian, ambil langkah untuk berdamai.Jangan tunggu sampai pihak satu lagi yang memulakannya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!