Tips IbuBapa

6 Seni Memuji Anak

::6 Seni Memuji Anak Yang Ibu Bapa Perlu Tahu & Praktikkan::
 
Memuji anak adalah suatu seni. Keberkesanan pujian bukan hanya ditentukan oleh cara kita memuji, tetapi juga dipengaruhi oleh karakter anak dalam bertindakbalas terhadap pujian.

Ada anak-anak yang dipuji sedikit sudah langsung bersemangat. Ada anak yang memerlukan lebih banyak pujian supaya bersemangat. Tetapi, ada juga anak-anak yang justeru jadi tidak bersemangat apabila terlalu banyak menerima pujian.

Berikut ini disenaraikan beberapa tips dan seni memuji anak:

1) Hindari memuji secara berlebihan
Puji secukupnya. Jangan terlalu banyak. Jangan memuji anak sehingga perkara-perkara kecil yang dilakukan mereka turut anda menghamburkan pujian. Terlalu banyak pujian akan menjadikan pujian kurang berharga dan tidak bermakna. Anak juga akan menjadi malas untuk mengembangkan potensi dirinya.

2) Puji untuk usaha anak

Fokuskan pada usaha, bukan hanya pada hasil. Kadangkala, hasil yang dicapai oleh anak belum sempurna, tetapi niat dan usahanya sudah bagus. Puji perjuangan dan usaha anak. Misalnya, “Terima kasih kerana along sudah menolong mama mengemas tempat tidur.”

3) Puji secara spesifik, bukan umum

Berikan pujian untuk usaha yang dilakukan anak, bukan untuk anaknya sendiri. Lebih baik mengatakan pujian “lukisan along ni cantik” daripada memuji “along anak yang pandai”.

4)Pujian bukan toleransi kegagalan
Ketika anak gagal, pujian pada usaha anak dapat membantu anak untuk mengatasi kekecewaannya. Tetapi pujian tetap harus dapat berfungsi mendorong anak untuk menjadi lebih baik pada waktu yang lain. Jangan sampai anak merasa bahawa kejayaan dan kegagalan adalah dua perkara yang sama saja.

5) Pujian bukan hanya kata-kata
Pujian tidak hanya diwujudkan dengan kata-kata verbal. Pujian boleh ditunjukkan dengan isyarat bagus (thumbs up), tepukan bahu, senyuman, belaian di rambut dan sebagainya. Walaupun anda tak mengatakan apa-apa, anak anda tahu bahwa anda sedang menunjukkan pujian anda.

6) Dorong anak memuji orang lain
Supaya anak tidak bersikap ego dan hanya mementingkan dirinya sendiri, perlihatkan contoh dengan memuji anak lain atau karya lain di depan anak anda. Lakukan pujian kepada siapapun yang berhak dipuji: pasangan, adik, jiran tetangga, pembantu rumah atau sesiapa pun. Sesekali minta anak untuk berikan pendapat dan menghargai hasil kerja anak yang lain.

www.muslimparentingnetwork.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!